Siri Pengabsahan Zapin Johor - Zapin Chokoh
Siri Pengabsahan Zapin Johor merupakan inisiatif NusPARC untuk mengabsahkan ragam-ragam permainan Zapin dari daerah-daerah di negeri Johor untuk memastikan tradisi Zapin negeri Johor kekal dalam bentuk yang asal dan akan terus dimainkan sepertimana ianya diajar atau diturunkan oleh Adiguru-Adiguru Zapin Johor. Siri Pengabsahan Zapin Johor ini menampilkan repertoir-repertoir Zapin yang terdapat di negeri Johor. Episod ini menayangkan rakaman pengabsahan Zapin Chokoh. Penyelidikan dan rakaman video pengabsahan bersama narasumber Zapin Chokoh telah dijalankan pada 9 September 2022 di No. 127, Kampung Chokoh Besar, 82030 Serkat, Pontian, Johor.
Zapin Chokoh:
Seperti kebanyakan Zapin-Zapin di Johor, Zapin di Kampung Chokoh Besar, Mukim Serkat, Pontian, Johor, dikenali sebagai Zapin Chokoh. Sejarah Zapin Chokoh bermula pada tahun 1940-an melalui pengasasnya, Taslim bin Haji Sulaiman. Tidak banyak yang diketahui di mana Taslim bin Haji Sulaiman mempelajari Zapin sebelum beliau mengasaskan Zapin tersebut di Kampung Chokoh Besar. Walaupun Zapin Chokoh menjadi suatu permainan di kampung, ianya mula pudar selepas Taslim bin Haji Sulaiman meninggal dunia pada tahun 1978. Kebangkitan semula Zapin Chokoh terjadi selepas tahun 1990-an apabila ianya dibangkitkan semula oleh Abdul Wahid bin Haji Mohd Tamin dengan bantuan Abdul Kadir Jailani bin Ramli, cucu kepada Taslim bin Haji Sulaiman. Abdul Wahid bin Haji Mohd Tamin telah menubuhkan kumpulan pemain Zapin Chokoh dengan membuka penyertaan di kalangan remaja di sekitar Kampung Chokoh dan kampung-kampung berhampiran Kampung Chokoh dan Kampung Sungai Boh untuk berlatih di Balai Raya Kampung bersama pemuzik.
Terdapat 9 jenis langkah Les dimainkan dalam Zapin Chokoh. Langkah-langkah tersebut terdiri daripada langkah-langkah Les Satu, Les Dua, Les Tiga, Les Empat, Les Lima, Les Enam, Les Tujuh, Les Lapan dan Les Sembilan. Semua langkahan Zapin Chokoh, kecuali Langkah Les Satu dan Les Lapan dimainkan oleh sepasang pemain lelaki secara siring iaitu seorang pemain menghadap ke kiri atau kanan sementara pasangannya berada di belakang pemain tersebut. Mereka melangkah siring bersama-sama. Les Satu dan Les Lapan dimainkan secara berpasangan menghadap ke hadapan melangkah maju dan mundur.
Abdul Wahid bin Haji Mohd Tamin telah melestarikan Zapin Chokoh di kalangan anak muda dengan mengajar pemuda-pemuda kampung mementaskannya di majlis-majlis rasmi daerah dan di kampung untuk meraikan kedatangan tetamu. Beliau telah menurunkan Zapin Chokoh kepada Sudin bin Nazir dan Fazrizzal bin Hudzuri. Sudin bin Nazir telah meneruskan warisan Zapin Chokoh dengan mengajar kepada murid-murid sekolah dan remaja di Kampung Chokoh sementara Fazrizzal bin Hudzuri telah membawa Zapin Chokoh ke Sekolah Seni Malaysia Johor.
Adiguru dan penerus yang telah mengabsahkan langkah-langkah Zapin terdiri daripada:
1. Abdul Wahid Bin Haji Mohd Tamin (Adiguru Zapin Chokoh)
2. Fazrizzal Bin Hudzuri (Anak Murid Abdul Wahid Bin Haji Mohd Tamin & Penerus Zapin Chokoh)