Siri Pengabsahan Zapin Johor - Zapin Dayung
Siri Pengabsahan Zapin Johor merupakan inisiatif NusPARC untuk mengabsahkan ragam-ragam permainan Zapin dari daerah-daerah di negeri Johor untuk memastikan tradisi Zapin negeri Johor kekal dalam bentuk yang asal dan akan terus dimainkan sepertimana ianya diajar atau diturunkan oleh Adiguru-Adiguru Zapin Johor. Siri Pengabsahan Zapin Johor ini menampilkan repertoir-repertoir Zapin yang terdapat di negeri Johor. Episod ini menayangkan rakaman pengabsahan Zapin Dayung. Penyelidikan dan rakaman video pengabsahan bersama narasumber Zapin Dayung telah dijalankan pada 19 September 2022 di Studio Pe-Zapin, 54B-B, Jalan Kenari 18, Taman Bandar Putra, 81000, Johor.
Zapin Dayung: Zapin Dayung adalah satu-satunya Zapin di negeri Johor yang diilhamkan dari kegiatan mendayung perahu atau kolek. Langkah-langkah seperti langkah mendayung (dalam langkah asas dan langkah separuh atau langkah penuh), langkah cedok air, langkah teng-teng dan langkah menghilir atau ngilir, menggambarkan hubungan dengan perahu, kolek dan air. Zapin yang dimainkan di Kampung Sri Bahagia, Air Hitam telah diasaskan oleh adiguru Haji Arshad bin Md Isa dari Parit Bilal, Batu Pahat. Beliau telah membawa Zapin Dayung dari Parit Bilal ke Kampung Sri Bahagia setelah beliau berhijrah ke Kampung Sri Bahagia pada awal abad ke-20. Haji Arshad bin Md Isa telah mengembangkan Zapin Dayung kepada beberapa anak-anak muda di kampung tersebut termasuk anak beliau sendiri, Haji Ismail bin Haji Arshad dan anak muda kampung, Haji Surif bin Sulaiman. Haji Ismail bin Haji Arshad mempelajari Zapin Dayung dari ayahnya pada usia 17 tahun sementara Haji Surif bin Sulaiman telah mempelajari Zapin Dayung dari Haji Ismail bin Haji Arshad ketika berusia 16 tahun. Mereka berdua yang mewarisi Zapin Dayung dari adiguru Haji Arshad bin Md Isa telah mengajar Zapin Dayung kepada pemuda-pemuda kampung. Di antara ramai anak muda yang terpikat dengan Zapin Dayung pada ketika itu ialah Haji Muharam bin Parlie yang merupakan anak didik Haji Surif bin Sulaiman. Mengikut Haji Muharam bin Parlie (lahir pada tahun 1953), beliau mula mengikut Zapin Dayung di Kampung Sri Bahagia (dikenali sebagai Kampung Batu 1 pada awal tahun 1920an) selepas waktu Maghrib bersama anak-anak muda di kampung. Langkah-langkah utama Zapin Dayung terdiri daripada Langkah Asas, Langkah Separuh, Langkah Penuh, Langkah Teng Teng, Langkah Ngilir dan Langkah Cedok (kopak). Lagu-lagu yang dimainkan untuk permainan Zapin Dayung terdiri daripada Lagu Puteri Gunung Ledang, Lagu Anak Ayam dan Lagu Lancang Kuning.
Adiguru dan penerus yang telah mengabsahkan langkah-langkah Zapin terdiri daripada:
1. Muharam Bin Parlie (Adiguru Zapin Dayung)
2. Dianna Binti Sulaiman (Anak Murid Muharam Bin Parlie & Jurulatih Persatuan Penggiat Zapin Negeri Johor)
3. Muhammad Amirul Ariff Bin Mohd Latif (Anak Murid Muharam Bin Parlie & Jurulatih Persatuan Penggiat Zapin Negeri Johor)