Siri Pengabsahan Zapin Johor - Zapin Melayu Johor

Siri Pengabsahan Zapin Johor merupakan inisiatif NusPARC untuk mengabsahkan ragam-ragam permainan Zapin dari daerah-daerah di negeri Johor untuk memastikan tradisi Zapin negeri Johor kekal dalam bentuk yang asal dan akan terus dimainkan sepertimana ianya diajar atau diturunkan oleh Adiguru-Adiguru Zapin Johor. Siri Pengabsahan Zapin Johor ini menampilkan repertoir-repertoir Zapin yang terdapat di negeri Johor. Episod ini menayangkan rakaman pengabsahan Zapin Melayu Johor. Penyelidikan dan rakaman video pengabsahan bersama narasumber Zapin Melayu Johor telah dijalankan pada 28 September 2022 di Tinta Persona (Black Box), Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900 Tanjong Malim, Perak.

Zapin Melayu Johor:

Pemugaran dan pelestarian Zapin Melayu Johor yang dilakukan pada tahun 1996 oleh Profesor Dr Mohd Anis bin Md Nor di bawah naungan kerajaan negeri Johor telah memangkin pemugaran semula Zapin Johor dari kampung atau mukim di negeri Johor. Beliau telah menjelajah permainan Zapin Melayu di Kepulauan Riau khususnya di Pulau Bentan dan Pulau Penyengat pada tahun 1995. Bersama dengan rekod-rekod sekunder dan bahan-bahan utama serta koleksi langkah-langkah persembahan Zapin Melayu yang telah dikumpulkan selama lebih kurang sepuluh tahun (1982-1992), Profesor Dr Mohd Anis bin Md Nor telah memugar semula dan merekonstruksi Zapin Melayu dengan bantuan seniman-seniman lama di Johor (Muar dan Batu Pahat) dan di Indonesia (Pulau Bentan, Pulau Penyengat, Pulau Tembelan, Medan (Deli), Perbaungan (Serdang), Pekan Baru, Siak, Sambas, Mempawah dan Pontianak). Keterkaitan Zapin Melayu Johor-Riau-Lingga amat ketara sekali walaupun Zapin Melayu di negeri Johor mempunyai keunikannya yang tersendiri.

Langkah-langkah pergerakan, langkahan kaki, liuk tubuh dan lenggangan tangan Zapin Melayu Johor mempunyai ciri-ciri khusus yang diilhamkan dari flora (kumpulan tumbuh-tumbuhan yang merangkumi wilayah atau negara) dan fauna (merujuk kepada binatang seperti mamalia, unggas, serangga dan ikan) di Alam Melayu. Langkah-Langkah Zapin Melayu Johor yang kaya dengan imejan flora dan fauna terlihat dalam Langkah Menapak (berjalan, melangkah atau mengikuti jejak manusia mahupun haiwan), Langkah Titi Batang (meniti di atas pohon yang tumbang), Langkah Enjut (atau terembe-rembe dalam dialek Johor bermakna bergoyang-goyang dan terenjut-enjut seperti lantai rumah yang tidak kukuh), Langkah Sisip (menyelit seperti menyisipi atau memasang atap baru, menyirat jala, memasukkan bunga atau butang dalam kancing baju), Langkah Sendeng atau Lompat Sendeng (condong, senget atau miring seperti perahu dipukul ombak), Langkah Siku Keluang (seperti siku haiwan mamalia dalam keluarga haiwan kelawar), Langkah Pusau Belanak (ikan belanak atau ikan kadera), Langkah Lompat Tiong (burung tiong emas atau burung tiong gembala kerbau), dan Langkah Ayam Patah atau Langkah Anak Ayam Patah (ayam yang patah kaki).

Adiguru dan penerus yang telah mengabsahkan langkah-langkah Zapin Melayu Johor terdiri daripada:

1. Profesor Dr Mohd Anis Bin Md Nor (Adiguru Zapin Melayu Johor)

2.Hafzan Zannie Bin Hamza (Anak Murid Profesor Dr Mohd Anis Bin Md Nor & Pensyarah Fakulti Muzik & Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris)

3. Abdul Hamid Bin Chan (Anak Murid Profesor Dr Mohd Anis Bin Md Nor & Pensyarah Fakulti Muzik & Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris)

Previous

Siri Pengabsahan Zapin Johor - Zapin Setajam

Next

Siri Pengabsahan Zapin Johor - Zapin Tanjung Selabu