Siri Pengabsahan Zapin Johor - Zapin Selat Panjang

Siri Pengabsahan Zapin Johor merupakan inisiatif NusPARC untuk mengabsahkan ragam-ragam permainan Zapin dari daerah-daerah di negeri Johor untuk memastikan tradisi Zapin negeri Johor kekal dalam bentuk yang asal dan akan terus dimainkan sepertimana ianya diajar atau diturunkan oleh Adiguru-Adiguru Zapin Johor. Siri Pengabsahan Zapin Johor ini menampilkan repertoir-repertoir Zapin yang terdapat di negeri Johor. Episod ini menayangkan rakaman pengabsahan Zapin Selat Panjang. Penyelidikan dan rakaman video pengabsahan bersama narasumber Zapin Selat Panjang telah dijalankan pada 10 September 2022 di Studio Pe-Zapin, 54B-B, Jalan Kenari 18, Taman Bandar Putra, 81000, Johor.

Zapin Selat Panjang:

Zapin Selat Panjang adalah di antara Zapin-Zapin di negeri Johor yang berasal dari luar dan mula dikenali di negeri Johor pada awal tahun 2000-an. Tidak seperti Zapin-Zapin yang berasal dari nasab keluarga adiguru dan pewaris di pelbagai daerah di negeri Johor, Zapin Selat Panjang telah di bawa ke Johor oleh Salimun bin Mawik @ Wak Limun yang lahir pada tahun 1950 di Melai, Pulau Rangsang, Kabupaten Kepulauan Meranti, Riau. Keluarga Ayah Wak Limun berasal dari Johor tetapi berpindah ke Pulau Rangsang semasa Perang Dunia Kedua (1939-1945) apabila datuk Wak Limun membawa keluarganya menetap di sana sementara menunggu tamatnya Perang Dunia Kedua. Ayah Wak Limun berkahwin dengan wanita tempatan di Pulau Rangsang dan Wak Limun yang dilahirkan di Pulau Rangsang membesar sebagai pemuda kampung sehingga beliau kembali ke negeri Johor pada tahun 1970-an.

Salimun bin Mawik @ Wak Limun mempelajari Zapin di Pulau Rangsang sejak berumur 14 tahun dari gurunya Mat Letop yang mempunyai ramai anak murid. Pada tahun 2011, Zapin Selat Panjang diperkenalkan di negeri Johor dan dimainkan dengan langkah-langkah yang terdiri daripada Langkah Asas Jalan, Langkah Bunga Lapan, Langkah Pusing Tak Jadi, Langkah Alif Depan, Langkah Henjut Semut, Langkah Ayam Lumpuh, Langkah Selonjak Tiga Kali, Langkah Duduk Samping, Langkah Jalan Serong, Langkah Henjut Siput, Kopak dan Wainab. Langkahan Kopak dilakukan dengan menggabungkan Langkah Bunga Lapan dan Langkah Duduk Samping semasa tingkahan marwas. Untuk Langkah Wainab, pemain Zapin Selat Panjang duduk bertinggung di akhir kopakkan marwas menghadap pasangan dan diakhiri dengan bersalaman sesama mereka. Urutan permainan Zapin Selat Panjang dimulai dengan masuk Taksim diikuti dengan langkahan-langkahan yang diselang seli dengan kopak dan diakhiri dengan Wainab dan bersalaman.

Penyelidikan dan Penerbitan oleh: Nusantara Performing Arts Research Center (NusPARC)

Pengarah Urusan NusPARC / Ketua Penyelidik : Profesor Dr Mohd Anis Md Nor

Pengurus Bersekutu NusPARC : Hafzan Zannie Bin Hamza

Pegawai Program NusPARC / Pembantu Penyelidik / Pengarah Fotografi : Muhammad Zharif Azzudin Bin Mohd Tahir

Filem Editor: Muhammad Shakkir Bin Abdul Latiff (Produksi Gua Seni)

Adiguru dan penerus yang telah mengabsahkan langkah-langkah Zapin terdiri daripada:

1. Salimun Bin Mawik (Adiguru Zapin Selat Panjang)

2. Mohd Mursyidi Bin Mat Saari (Anak Murid Salimun Bin Mawik & Penerus Zapin Selat Panjang)

3. Dianna Binti Sulaiman (Anak Murid Salimun Bin Mawik & Jurulatih Persatuan Penggiat Zapin Negeri Johor)

Previous

Siri Pengabsahan Zapin Johor - Zapin Seri Bunian

Next

Siri Pengabsahan Zapin Johor - Zapin Chokoh