Siri Pengabsahan Zapin Johor - Zapin Seri Bunian
Siri Pengabsahan Zapin Johor merupakan inisiatif NusPARC untuk mengabsahkan ragam-ragam permainan Zapin dari daerah-daerah di negeri Johor untuk memastikan tradisi Zapin negeri Johor kekal dalam bentuk yang asal dan akan terus dimainkan sepertimana ianya diajar atau diturunkan oleh Adiguru-Adiguru Zapin Johor. Siri Pengabsahan Zapin Johor ini menampilkan repertoir-repertoir Zapin yang terdapat di negeri Johor. Episod ini menayangkan rakaman pengabsahan Zapin Seri Bunian. Penyelidikan dan rakaman video pengabsahan bersama narasumber Zapin Seri Bunian telah dijalankan pada 28 Mei 2022 di Studio Pe-Zapin, 54B-B, Jalan Kenari 18, Taman Bandar Putra, 81000, Johor.
Zapin Seri Bunian: Zapin Seri Bunian dari Kampung Seri Bunian, Pontian Kecil, Johor, merupakan salah satu daripada tiga buah Zapin dari daerah Pontian. Adiguru yang telah memperkenalkan Zapin Seri Bunian kepada khalayak umum di negeri Johor ialah Wak Gendu @ Haji Jaffar bin Ikhwan (1934-2012). Wak Gendu @ Jaffar bin Ikhwan mula belajar main Zapin selepas tamat Perang Asia-Pasifik atau Perang Dunia Kedua (1941-1945) ketika berumur 12 tahun bersama salah seorang sahabatnya, Tasrip bin Ahmad. Bersama sahabatnya Tasrip bin Ahmad Nawi, Wak Gendu @ Jaffar bin Ikhwan telah turut sama menjadikan Zapin Seri Bunian sebagai permainan yang popular dikalangan pemain-pemain lelaki di sekitar tahun 1950-an hingga 1960-an.
Pada dekad 1960-an hingga 1970-an, Zapin Seri Bunian menjadi salah satu daripada permainan yang paling popular di majlis-majlis keramaian di Kampung Seri Bunian yang dimainkan oleh pemain lelaki sahaja. Zapin Seri Bunian dimainkan oleh pemain lelaki dan wanita setelah ianya mula berkembang di seluruh negeri Johor pada tahun 2000-an. Terdapat tujuh buah langkah dalam Zapin Seri Bunian yang terdiri daripada Langkah Satu, Langkah Dua, Langkah Tiga, Langkah Empat, Langkah Lima, Langkah Enam dan Langkah Tujuh.
Penyelidikan dan Penerbitan oleh: Nusantara Performing Arts Research Center (NusPARC)
Pengarah Urusan NusPARC / Ketua Penyelidik : Profesor Dr Mohd Anis Md Nor
Pengurus Bersekutu NusPARC : Hafzan Zannie Bin Hamza
Pegawai Program NusPARC / Pembantu Penyelidik / Pengarah Fotografi : Muhammad Zharif Azzudin Bin Mohd Tahir
Filem Editor: Muhammad Shakkir Bin Abdul Latiff (Produksi Gua Seni)
Pewaris dan penerus yang telah mengabsahkan langkah-langkah Zapin terdiri daripada:
1. Yusni Binti Jaffar (Anak kepada Allahyarham Jaffar Bin Ikhwan)
2. Dianna Binti Sulaiman (Anak murid Allahyarham Jaffar Bin Ikhwan & Jurulatih Persatuan Penggiat Zapin Negeri Johor)