Siri Pengabsahan Zapin Johor - Zapin Pekajang

Siri Pengabsahan Zapin Johor merupakan inisiatif NusPARC untuk mengabsahkan ragam-ragam permainan Zapin dari daerah-daerah di negeri Johor untuk memastikan tradisi Zapin negeri Johor kekal dalam bentuk yang asal dan akan terus dimainkan sepertimana ianya diajar atau diturunkan oleh Adiguru-Adiguru Zapin Johor. Siri Pengabsahan Zapin Johor ini menampilkan repertoir-repertoir Zapin yang terdapat di negeri Johor. Episod ini menayangkan rakaman pengabsahan Zapin Pekajang. Penyelidikan dan rakaman video pengabsahan bersama narasumber Zapin Pekajang telah dijalankan pada 27 Mei 2022 di Studio Pe-Zapin, 54B-B, Jalan Kenari 18, Taman Bandar Putra, 81000, Johor.

Zapin Pekajang:

Zapin Pekajang dari Kampung Pekajang, Gelang Patah, Johor Bahru, mempunyai nasab pewaris yang berterusan dari pengasasnya, Abdul Rashid bin Riona. Beliau telah mencipta empat langkah Zapin untuk dimainkan dikalangan ahli keluarga lelaki di Kampung Pekajang. Langkah-langkah tersebut ditambah menjadi tiga belas oleh anaknya, Mohamed Zafin bin Abdul Rashid dan diturunkan kepada enam orang anak lelakinya. Keenam-enam anak Mohamed Zafin bin Abdul Rashid; Hamzah bin Mohamed Zafin @ Pak Ngah (penyanyi), Zulkifli bin Mohamed Zafin @ Uda Zul (Gambus), Zainal Abidin bin Mohamed Zafin (pewaris dan adiguru), Shamsil Bahrin bin Mohamed Zafin @ Teh Acil, Shamsul Kahar bin Mohamed Zafin @ Cik Lie dan Norzahid bin Mohamed Zafin membesar dalam keluarga Zapin Pekajang.

Cucu Abdul Rashid bin Riona, Zainal Abidin bin Mohamed Zafin menjadi pewaris dan adiguru Zapin Pekajang selepas ayahnya, Mohamed Zafin bin Abdul Rashid meninggal dunia. Zainal Abidin bin Mohamed Zafin (1956-2011) telah mewariskan Zapin Pekajang kepada anak-anaknya, Mohamad Kamarudin bin Zainal Abidin, Mohamad Akmal bin Zainal Abidin dan Mohamad Azlan bin Zainal Abidin serta adiknya Shamsul Kahar bin Mohamed Zafin dan anak saudaranya, Mohamad Aliff bin Saparudin. Zainal Abidin bin Mohamed Zafin telah memperkenalkan Zapin Pekajang kepada khalayak umum di negeri Johor pada tahun 1990-an melalui Kumpulan Dana Pekajang di Kampung Pekajang dan diperkembangkan ke seluruh negeri Johor oleh Yayasan Warisan Johor.

Keistimewaan permainan Zapin Pekajang terletak kepada ketegasan dan kesigapan pemain-pemain lelaki mengatur langkah sambil memegang bunga pahar iaitu bunga telur yang dipacak pada pulut kuning di kiri dan kanan pelamin. Pemain Zapin Pekajang memegang bunga telur yang diikat dengan kuntum bunga atau lipatan kain dipegang di sebelah tangan semasa memainkan langkah-langkah Zapin. Tradisi ini kekal dalam permainan Zapin Pekajang sebagai lambang yang membezakan Zapin Pekajang dengan Zapin yang lain di negeri Johor.

Penyelidikan dan Penerbitan oleh: Nusantara Performing Arts Research Center (NusPARC)

Pengarah Urusan NusPARC / Ketua Penyelidik : Profesor Dr Mohd Anis Md Nor

Pengurus Bersekutu NusPARC : Hafzan Zannie Bin Hamza

Pegawai Program NusPARC / Pembantu Penyelidik / Pengarah Fotografi : Muhammad Zharif Azzudin Bin Mohd Tahir

Filem Editor: Muhammad Shakkir Bin Abdul Latiff (Produksi Gua Seni)

Pewaris dan penerus yang telah mengabsahkan langkah-langkah Zapin terdiri daripada:

1. Mohamad Akmal Bin Zainal Abidin (Pewaris Zapin Pekajang)

2. Mohamad Azlan Bin Zainal Abidin (Pewaris Zapin Pekajang)

3. Shamsul Kahar Bin Mohamed Zafin (Pewaris Zapin Pekajang)

4. Dianna Binti Sulaiman (Penerus Zapin Pekajang & Jurulatih Persatuan Penggiat Zapin Negeri Johor)

Previous

Siri Pengabsahan Zapin Johor - Zapin Tenglu

Next

Siri Pengabsahan Zapin Johor - Zapin Seri Bunian