Siri Pengabsahan Zapin Johor - Zapin Pat Lipat
Siri Pengabsahan Zapin Johor merupakan inisiatif NusPARC untuk mengabsahkan ragam-ragam permainan Zapin dari daerah-daerah di negeri Johor untuk memastikan tradisi Zapin negeri Johor kekal dalam bentuk yang asal dan akan terus dimainkan sepertimana ianya diajar atau diturunkan oleh Adiguru-Adiguru Zapin Johor. Siri Pengabsahan Zapin Johor ini menampilkan repertoir-repertoir Zapin yang terdapat di negeri Johor. Episod ini menayangkan rakaman pengabsahan Zapin Pat Lipat. Penyelidikan dan rakaman video pengabsahan bersama narasumber Zapin Pat Lipat telah dijalankan pada 11 Mac 2022 di Kampung Parit No. 6, Jalan Yusuf Darat, 83600 Muar, Johor
Zapin Pat Lipat:
Md Amin bin Ma’osum @ Wak Min (1954 – 2021) memperkenalkan Zapin Pat Lipat kepada khalayak ramai di negeri Johor pada akhir tahun 1990-an sehingga 2021 melalui pertandingan-pertandingan Zapin khususnya di daerah Muar dan amnya di negeri Johor. Wak Min adalah seorang seniman berbakat tinggi. Beliau telah ikut bermain Zapin semasa umur remaja di Parit Yusof dan mempelajari permainan alat-alat muzik dari sahabat-sahabat di Parit Bugis dan Parit Yusof, terutamanya di kalangan ahli-ahli yang lebih tua darinya. Kemahiran beliau mainkan Gambus (dipelajari dari Iman Nasir dari Parit Bugis), Harmonium, menabuh Gendang dan Marwas, dan memainkan langkah-langkah Zapin menjadikan beliau seorang adiguru pelbagai bakat sehingga beliau dilantik sebagai ketua Kumpulan Sri Serumpun pada tahun 1995 sehingga beliau meninggal dunia pada 20hb November 2021.
Nama Zapin Pat Lipat berasal dari sebutan “Papat” atau nombor empat dalam bahasa Jawa yang merujuk kepada empat jenis langkahan dalam Zapin Pat Lipat. Langkah-langkah Zapin Pat Lipat dimainkan mengikut susunan Langkah Satu, Langkah Dua, Langkah Tiga dan Langkah Empat, diselangi oleh pukulan kopakkan Marwas dan diakhiri dengan Wainab. Zapin Pat Lipat dimainkan secara berpasang-pasang oleh pemain lelaki secara berulang-ulang kali sehingga tamat. Namun demikian terdapat juga bentuk permainan Zapin Pat Lipat yang disusun semula untuk persembahan di atas pentas oleh pemain lelaki dan perempuan apabila dipertandingkan dalam pertandingan-pertandingan Zapin di negeri Johor.
Penyelidikan dan Penerbitan oleh: Nusantara Performing Arts Research Center (NusPARC)
Pengarah Urusan NusPARC / Ketua Penyelidik : Profesor Dr Mohd Anis Md Nor
Pengurus Bersekutu NusPARC : Hafzan Zannie Bin Hamza
Pegawai Program NusPARC / Pembantu Penyelidik / Pengarah Fotografi : Muhammad Zharif Azzudin Bin Mohd Tahir
Filem Editor: Muhammad Shakkir Bin Abdul Latiff (Produksi Gua Seni)
Adiguru dan Tokoh yang telah mengabsahkan langkah-langkah Zapin terdiri daripada:
1. Wan Arifin bin Sabran (Penerus & Ahli kumpulan Zapin Sri Serumpun)
2. Nurhaslin Binti Md Amin (Anak Allahyarham Md Amin )
3. Mohd Iskandar Shah Bin Abdullah (Anak Murid Allahyarham Md Amin & Mantan Jurulatih Zapin Daerah Muar)