Siri Pengabsahan Zapin Johor - Zapin Parit Sakai

Siri Pengabsahan Zapin Johor merupakan inisiatif NusPARC untuk mengabsahkan ragam-ragam permainan Zapin dari daerah-daerah di negeri Johor untuk memastikan tradisi Zapin negeri Johor kekal dalam bentuk yang asal dan akan terus dimainkan sepertimana ianya diajar atau diturunkan oleh Adiguru-Adiguru Zapin Johor. Siri Pengabsahan Zapin Johor ini menampilkan repertoir-repertoir Zapin yang terdapat di negeri Johor. Episod ini menayangkan rakaman pengabsahan Zapin Parit Sakai. Penyelidikan dan rakaman video pengabsahan bersama narasumber Zapin Parit Sakai telah dijalankan pada 27 Februari 2022 di Kampong Baru, Batu 28 Lenga, Muar, Johor.

Zapin Parit Sakai:

Zapin Parit Sakai merupakan salah satu daripada kesenian Zapin yang terdapat di daerah Muar, khususnya di kawasan yang dikenali sebagai Padang. Nama asal Parit Sakai ialah Parit Siput. Pertukaran nama daripada Parit Siput ke Parit Sakai berlaku apabila kampung Parit Siput berkembang dengan pertambahan penduduk dari arah pantai ke arah daratan menjadikan Parit Sakai kepada dua bahagian, Parit Sakai Lama dan Parit Sakai Baru. Parit Sakai adalah antara kampung yang terawal di daerah Muar yang mempunyai pusat-pusat pengajian agama atau madrasah- madrasah yang banyak melahirkan alim ulama dan guru-guru agama di Muar dan di luar daerah Muar. Pada ketika dahulu murid-murid yang mengaji di madrasah- madrasah tersebut mempelajari permainan Gambus, menyanyikan lagu-lagu Qasidah, berzanji, menabuh Marwas dan memainkan Zapin sebagai kegiatan riadah. Namun demikian Zapin Parit Sakai hampir dilupakan sebelum dipugar semula pada akhir tahun 1990-an oleh Mohd Iskandar Shah bin Abdullah sewaktu beliau menjadi jurulatih Zapin di Daerah Muar. Sebagai guru dan penggiat Zapin Johor di daerah Muar, Mohd Iskandar Shah telah berjumpa dengan pewaris-pewaris dan penggiat Zapin Parit Sakai di Bandar Muar untuk mendapatkan maklumat mengenai Zapin Parit Sakai dan berguru dengan mereka. Antara tokoh dan pewaris Zapin Parit Sakai yang ditemui ialah Haji Mokhtar bin Abdul Rahaman (Tanjung Agas), Wak Rahman (Parit Sakai), Wak Bahrin (Kampong Bagan Batu Pahat), Wak Halus (Parit Bakar) dan Haji Omar bin Kassim (Parit Beting). Wak Bahrin telah mengajar lapan ragam langkah kepada Mohd Iskandar Shah yang tidak termasuk Taksim diawal permainan dan Wainab sebagai penutup. Pada hari ini ragam langkah Zapin Parit Sakai terdiri daripada Taksim, Langkah Asas (Alif atau Langkah Satu), Langkah Dua, Langkah Tiga, Langkah Potong Wajik (atau Langkah Empat), Langkah Lima, Langkah Enam (atau Langkah Lam Alif), Langkah Tujuh (Langkah Acah), Langkah Lapan (Langkah Acah), Kopak dan Wainab.

Zapin Parit Sakai pada asalnya dimainkan oleh kaum lelaki sahaja. Pada hari ini, Zapin Parit Sakai dimainkan oleh lelaki dan perempuan di Bandar Muar. Perubahan ini berlaku apabila Zapin Parit Sakai dipertandingkan untuk pertandingan Zapin di daerah Muar dan di peringkat negeri Johor pada tahun 2000-an. Zapin Parit Sakai menjadi salah satu daripada Zapin dari Muar yang dimainkan oleh generasi muda terutama dikalangan pelajar-pelajar sekolah.

Penyelidikan dan Penerbitan oleh: Nusantara Performing Arts Research Center (NusPARC)

Pengarah Urusan NusPARC / Ketua Penyelidik : Profesor Dr Mohd Anis Md Nor

Pengurus Bersekutu NusPARC : Hafzan Zannie Bin Hamza

Pegawai Program NusPARC / Pembantu Penyelidik / Pengarah Fotografi : Muhammad Zharif Azzudin Bin Mohd Tahir

Filem Editor: Muhammad Shakkir Bin Abdul Latiff (Produksi Gua Seni)

Adiguru dan Tokoh yang telah mengabsahkan langkah-langkah Zapin terdiri daripada:

1. Mohd Iskandar Shah Bin Abdullah (Adiguru Zapin Parit Sakai)

2. Sukur Bin Basir (Tokoh Zapin di Muar)

Previous

Siri Pengabsahan Zapin Johor - Zapin Padang Sari

Next

Siri Pengabsahan Zapin Johor - Zapin Pat Lipat