Siri Pengabsahan Zapin Johor - Zapin Padang Sari
Siri Pengabsahan Zapin Johor merupakan inisiatif NusPARC untuk mengabsahkan ragam-ragam permainan Zapin dari daerah-daerah di negeri Johor untuk memastikan tradisi Zapin negeri Johor kekal dalam bentuk yang asal dan akan terus dimainkan sepertimana ianya diajar atau diturunkan oleh Adiguru-Adiguru Zapin Johor. Siri Pengabsahan Zapin Johor ini menampilkan repertoir-repertoir Zapin yang terdapat di negeri Johor. Episod ini menayangkan rakaman pengabsahan Zapin Padang Sari. Penyelidikan dan rakaman video pengabsahan bersama narasumber Zapin Padang Sari telah dijalankan pada 26 Februari 2022 di Kampung Parit Haji Rasul, Mukim 4, 83000 Batu Pahat, Johor.
Zapin Padang Sari: Haji Saim bin Ros (1943-2019) adalah pelopor dan adiguru Zapin Padang Sari yang telah melestarikan Zapin tersebut melalui penglibatan pemuda-pemuda dari Majlis Kebudayaan Daerah Batu Pahat pada akhir tahun 1990-an. Berasal dari Kampung Parit Rasul, Mukim 4, Batu Pahat, Haji Saim mula mempelajari dan memainkan Zapin pada umur 10 tahun kerana beliau sangat berminat menonton permainan Zapin di majlis-majlis perkahwinan di kampung. Guru pertama yang melatih Haji Saim bermain Zapin ialah Wak Muh Benjol yang berasal dari Bagan yang bermastautin di Kampung Batu Putih, Batu Pahat. Pada ketika itu Wak Muh Benjol mempunyai seramai 15 orang pelajar dan kesemuanya adalah lelaki, Haji Saim adalah salah seorang darinya. Guru yang kedua ialah Haji Surjat dari Kampung Padang Sari, Batu Pahat.
Haji Saim telah menurunkan langkah-langkah Zapin Padang Sari yang dipelajari dari Haji Surjat kepada anak-anak muridnya di kampung dan kepada pemuda-pemuda dari Batu Pahat. Langkah permainan Zapin Padang Sari terdiri daripada Langkah 1, Langkah 2, Langkah 3 dan Langkah 4. Selain langkah-langkah tersebut, terdapat juga langkah yang dinamakan Langkah Genjat yang membawa maksud mengenjut dengan gerak langkahnya perlahan. Langkah Genjat atau Ginjat merupakan salah satu langkah dari Zapin Ginjat yang biasa dimainkan di Bagan dan di Parit Haji Yusuf.
Penyelidikan dan Penerbitan oleh: Nusantara Performing Arts Research Center (NusPARC)
Pengarah Urusan NusPARC / Ketua Penyelidik : Profesor Dr Mohd Anis Md Nor
Pengurus Bersekutu NusPARC : Hafzan Zannie Bin Hamza
Pegawai Program NusPARC / Pembantu Penyelidik / Pengarah Fotografi : Muhammad Zharif Azzudin Bin Mohd Tahir
Filem Editor: Muhammad Shakkir Bin Abdul Latiff (Produksi Gua Seni)
Pewaris dan Penerus yang telah mengabsahkan langkah-langkah Zapin terdiri daripada:
1. Aminah Binti Punpun@Pon (Isteri Allahyarham Saim Bin Ros)
2. Nor Alina Binti Saim (Anak Allahyarham Saim Bin Ros)