Siri Pengabsahan Zapin Johor - Zapin Tanjung Laboh

Siri Pengabsahan Zapin Johor merupakan inisiatif NusPARC untuk mengabsahkan ragam-ragam permainan Zapin dari daerah-daerah di negeri Johor untuk memastikan tradisi Zapin Negeri Johor kekal dalam bentuk yang asal dan akan terus dimainkan sepertimana ianya diajar atau diturunkan oleh Adiguru-Adiguru Zapin Johor. Siri Pengabsahan Zapin Johor ini menampilkan repertoir-repertoir Zapin yang terdapat di negeri Johor. Episod ini menayangkan rakaman pengabsahan Zapin Tanjung Laboh. Penyelidikan dan rakaman video pengabsahan bersama narasumber Zapin Tanjung Laboh telah dijalankan pada 26 Februari 2022 di Kampong Koris Mukim 9, Batu Pahat, Johor.

Zapin Tanjung Laboh:

Zapin yang mengambil nama kampung Tanjung Laboh diwarisi oleh keluarga Salmah binti Ahmad atau Mak Salmah sejak ianya diasaskan oleh Mahmud bin Muhaban atau Cikgu Mahmud Awang sebelum ianya diturunkan kepada Abdul Aziz bin Boon. Mak Salmah telah mempelajari dan mewarisi Zapin Tanjung Laboh dari Abdul Aziz bin Boon dan telah memperkembangkan permainan di kalangan ahli keluarganya. Zapin Tanjung Laboh mendapat perhatian awam selepas ianya dibawa ke pertandingan Zapin Negeri Johor pada akhir tahun 1990-an. Sebelum itu, Zapin Tanjung Laboh yang mempunyai empat ragam pergerakan iaitu Langkah Satu, Langkah Dua, Langkah Tiga dan Langkah Empat pada kebiasaannya dimainkan oleh orang-orang kampung secara berpasang-pasangan (berdua atau berempat) tanpa mengikut rentetan atau aturan yang formal untuk sambutan keramaian dan majlis kenduri kahwin dalam kalangan ahli keluarga.

Walaupun pada asalnya Zapin di Kampung Tanjung Laboh merupakan permainan kaum lelaki sahaja, Mak Salmah telah membawa Zapin tersebut untuk dimainkan oleh ahli keluarganya sehingga ianya dikenali sebagai Zapin yang dimainkan oleh kaum wanita sahaja. Kelebihan Zapin Tanjung Laboh yang dimainkan pada hari ini bukan sahaja kerana ianya dimainkan oleh kaum wanita tetapi juga gaya dan bentuk persembahan mereka dimainkan mengikut tertib kaum wanita melangkah dengan busana baju kurung Johor bersama kain dagang luar. Zapin Tanjung Laboh pada hari ini sinonim dengan bentuk dan sifat persembahan yang telah diturunkan dari adiguru Mak Salmah alias Salmah binti Ahmad.

Penyelidikan dan Penerbitan oleh: Nusantara Performing Arts Research Center (NusPARC)

Pengarah Urusan NusPARC / Ketua Penyelidik : Profesor Dr Mohd Anis Md Nor

Pengurus Bersekutu NusPARC : Hafzan Zannie Bin Hamza

Pegawai Program NusPARC / Pembantu Penyelidik / Pengarah Fotografi : Muhammad Zharif Azzudin Bin Mohd Tahir

Adiguru dan pewaris yang telah mengabsahkan langkah-langkah Zapin Tanjung Laboh terdiri daripada:

1. Salmah Binti Ahmad (Adiguru Zapin Tanjung Laboh)

2. Fauziah Binti Sahadan (Pewaris & anak kepada Salmah Binti Ahmad)

Previous

Siri Pengabsahan Zapin Johor - Zapin Koris I & Zapin Koris II

Next

Siri Pengabsahan Zapin Johor - Zapin Padang Sari