Siri Pengabsahan Zapin Johor - Zapin Parit Mastar
Siri Pengabsahan Zapin Johor merupakan inisiatif NusPARC untuk mengabsahkan ragam-ragam permainan Zapin dari daerah-daerah di negeri Johor untuk memastikan tradisi Zapin negeri Johor kekal dalam bentuk yang asal dan akan terus dimainkan sepertimana ianya diajar atau diturunkan oleh Adiguru-Adiguru Zapin Johor. Siri Pengabsahan Zapin Johor ini menampilkan repertoir-repertoir Zapin yang terdapat di negeri Johor. Episod ini menayangkan rakaman pengabsahan Zapin Parit Mastar. Penyelidikan dan rakaman video pengabsahan bersama narasumber Zapin Parit Mastar telah dijalankan pada 27 Mei 2022 di Studio Pe-Zapin, 54B-B, Jalan Kenari 18, Taman Bandar Putra, 81000, Johor.
Zapin Parit Mastar:
Zapin Parit Mastar diasaskan oleh Ahmad bin Timbul, seorang pedagang yang membawa dagangan dari Pontian ke kepulauan Karimun dan Riau di sekitar tahun 1950-an. Keterujaan beliau dengan permainan Zafin Arab Hadhrami dan pemainan Zapin dikalangan penduduk tempatan di kepulauan Karimun, Selat Panjang dan Riau, telah mengilhamkan Ahmad bin Timbul untuk mencipta langkah-langkah Zapin untuk dimainkan di Kampung Parit Mastar. Di antara sahabat-sahabat beliau yang turut mempelajari dan memainkan Zapin di Kampung Parit Mastar dari beliau adalah Haji Keliwon bin Denan, adiguru Zapin Parit Mastar.
Pada waktu dahulu, Zapin Parit Mastar dimainkan oleh pemain lelaki untuk menyambut acara berinai, majlis perkahwinan dan dimainkan di malam Jumaat selepas solat Isyak atau selepas majlis tahlil. Apabila Zapin Parit Mastar mula dikenali di luar Kampung Parit Mastar selepas tahun 2000-an, ianya dipersembahkan oleh lelaki dan wanita di atas pentas untuk tujuan pertandingan atau persembahan menyambut acara-acara keramaian di negeri Johor. Setelah Haji Keliwon bin Denan meninggal dunia pada tahun 2015, anaknya Zubaidah binti Keliwon telah menyambung pewarisan Zapin Parit Mastar dikalangan penggiat-penggiat Zapin di negeri Johor.
Terdapat enam belas jenis langkahan dalam Zapin Parit Mastar yang dimulakan dengan langkah pertama yang disebut sebagai Kepala. Enam belas langkahan Zapin Parit Mastar terdiri daripada Langkah Kepala, Langkah Sekerat, Langkah Enjut Satu, Langkah Enjut Dua, Langkah Enjut Tiga, Langkah Enjut Empat, Langkah Enjut Lima, Langkah Semut-semut, Langkah Serong, Langkah Enjut Belakang, Langkah Babonan, Langkah Enjut Depan, Langkah Sengkang, Langkah Adap-Adapan disamping Kopak dan Wainab.
Penyelidikan dan Penerbitan oleh: Nusantara Performing Arts Research Center (NusPARC)
Pengarah Urusan NusPARC / Ketua Penyelidik : Profesor Dr Mohd Anis Md Nor
Pengurus Bersekutu NusPARC : Hafzan Zannie Bin Hamza
Pegawai Program NusPARC / Pembantu Penyelidik / Pengarah Fotografi : Muhammad Zharif Azzudin Bin Mohd Tahir
Filem Editor: Muhammad Shakkir Bin Abdul Latiff (Produksi Gua Seni)
Adiguru dan penerus yang telah mengabsahkan langkah-langkah Zapin terdiri daripada:
1. Zubaidah Binti Keliwon (Adiguru Zapin Parit Mastar)
2. Masselih Bin Miswan (Anak kepada Zubaidah Binti Keliwon & Pewaris Zapin Parit Mastar)
3. Dianna Binti Sulaiman (Anak murid Keliwon Bin Denan & Jurulatih Persatuan Penggiat Zapin Negeri Johor)