Siri Pengabsahan Zapin Johor - Zapin Putar Lam
Siri Pengabsahan Zapin Johor merupakan inisiatif NusPARC untuk mengabsahkan ragam-ragam permainan Zapin dari daerah-daerah di negeri Johor untuk memastikan tradisi Zapin negeri Johor kekal dalam bentuk yang asal dan akan terus dimainkan sepertimana ianya diajar atau diturunkan oleh Adiguru-Adiguru Zapin Johor. Siri Pengabsahan Zapin Johor ini menampilkan repertoir-repertoir Zapin yang terdapat di negeri Johor. Episod ini menayangkan rakaman pengabsahan Zapin Putar Lam. Penyelidikan dan rakaman video pengabsahan bersama narasumber Zapin Putar Lam telah dijalankan pada 11 Mac 2022 di No. 39, Jalan Ilham, Kampung Parit Keroma, 84000 Muar, Johor.
Zapin Putar Lam:
Zapin Putar Lam atau dikenali juga sebagai Zapin Putar Alam terdapat di Parit No. 4 dan Parit No. 5, Jalan Parit Yusof, Muar. Pengasas dan alim-ulama dari Parit Bugis sehingga Parit No. 6 di sekitar Jalan Parit Yusof menamakan Zapin Putar Lam sebagai petanda kepada huruf Lam (ﻝ) sebagai huruf ke-23 dalam abjad Arab merupakan salah satu huruf ma’ani yang sering digunakan dalam percakapan seharian, dalam penulisan dan dalam Al-Quran. Keterkaitan huruf (ﻝ) dengan Zapin Putar Lam ialah pada lakaran huruf (ﻝ) melalui langkahan kaki sebagai pola dasar dalam langkahan Zapin Putar Lam. Lakaran huruf (ﻝ) telah dimurnikan dalam kesemua langkah-langkah Zapin Putar Lam dalam bentuk Langkah Satu, Langkah Dua, Langkah Tiga dan Langkah Empat. Seperti Zapin-Zapin yang lain juga, langkahan Zapin Putar Lam diselang-seli oleh Kopak dan diakhiri dengan Wainab.
Wak A @ Sabari bin Mahmood telah mempelajari langkah-langkah Zapin Putar Lam pada tahun 1990-an ketika berumur 30 tahun. Beliau aktif mengajar Zapin Putar Lam dan mengembangkan Zapin Pat Lam dikalangan penggiat-penggiat Zapin di Muar melalui Kumpulan Seri Setia yang ditubuhkan pada tahun 2000 apabila Zapin Putar Lam mulai terkenal melalui pertandingan Zapin di peringkat daerah dan di peringat negeri Johor. Dari tahun 2000, beliau juga telah memperkenalkan permainan Zapin Putar Lam oleh pemain lelaki dan perempuan. Ini merupakan suatu pembaharuan kepada permainan Zapin Putar Lam berbanding dengan permainan Zapin pada tahun-tahun sebelumnya.
Penyelidikan dan Penerbitan oleh: Nusantara Performing Arts Research Center (NusPARC)
Pengarah Urusan NusPARC / Ketua Penyelidik : Profesor Dr Mohd Anis Md Nor
Pengurus Bersekutu NusPARC : Hafzan Zannie Bin Hamza
Pegawai Program NusPARC / Pembantu Penyelidik / Pengarah Fotografi : Muhammad Zharif Azzudin Bin Mohd Tahir
Filem Editor: Muhammad Shakkir Bin Abdul Latiff (Produksi Gua Seni)
Adiguru dan penerus yang telah mengabsahkan langkah-langkah Zapin terdiri daripada:
1. Sabari Bin Mahmood (Adiguru Zapin Putar Lam)
2. Mohd Iskandar Shah Bin Abdullah (Anak murid Sabari bin Mahmood & Mantan Jurulatih Zapin Daerah Muar )