Siri Pengabsahan Zapin Johor - Zapin Dinjat / Ginjat
Siri Pengabsahan Zapin Johor merupakan inisiatif NusPARC untuk mengabsahkan ragam-ragam permainan Zapin dari daerah-daerah di negeri Johor untuk memastikan tradisi Zapin negeri Johor kekal dalam bentuk yang asal dan akan terus dimainkan sepertimana ianya diajar atau diturunkan oleh Adiguru-Adiguru Zapin Johor. Siri Pengabsahan Zapin Johor ini menampilkan repertoir-repertoir Zapin yang terdapat di negeri Johor. Episod ini menayangkan rakaman pengabsahan Zapin Dinjat/Ginjat. Penyelidikan dan rakaman video pengabsahan bersama narasumber Zapin Dinjat/Ginjat telah dijalankan pada 12 Mac 2022 di No. 21 Kampung Parit Tengah Batu 18, Air Hitam, Muar 84050, Johor.
Zapin Dinjat/Ginjat:
Zapin Dinjat atau Ginjat mempunyai ciri-ciri langkahan dan pergerakan yang cepat dan lebih agresif berbanding Zapin-Zapin yang lain di Parit Tengah, Batu 18, Air Hitam, Muar. Ianya dimainkan oleh orang lelaki secara berpasang-pasangan dengan langkahan di hujung kaki secara terkinjat-kinjat bersama pukulan Marwas yang kuat dan sedikit agresif. Ketangkasan pergerakan Zapin Dinjat sepanjang permainan diperkukuhkan dengan pola pukulan Marwas yang khusus semasa Kopak dan Wainab. Adiguru Zapin Dinjat ialah Suhairi bin Adam atau lebih dikenali sebagai Wak Turiman yang berasal dari sebuah kampung bersebelah dengan kampung Sarang Buaya. Penerus Zapin Dinjat setelah Wak Turiman @ Suhairi bin Adam meninggal dunia ialah Salimi bin Mohd Shah. Beliau merupakan anak murid kepada Wak Turiman @ Suhairi bin Adam dan telah mempelajari Zapin Dinjat pada tahun 2000-2006.
Ragam-ragam langkah Zapin Dinjat yang masih dimainkan hari ini terdiri daripada Langkah 1, Langkah 2, Langkah 3, Langkah 4, Langkah Lenggang, Langkah 6, Kopak dan Wainab. Langkah Lenggang mempunyai sedikit keistimewaan kerana langkahan kaki dilakukan bersama hayunan atau lenggangan tangan.
Penyelidikan dan Penerbitan oleh: Nusantara Performing Arts Research Center (NusPARC)
Pengarah Urusan NusPARC / Ketua Penyelidik : Profesor Dr Mohd Anis Md Nor
Pengurus Bersekutu NusPARC : Hafzan Zannie Bin Hamza
Pegawai Program NusPARC / Pembantu Penyelidik / Pengarah Fotografi : Muhammad Zharif Azzudin Bin Mohd Tahir
Filem Editor: Muhammad Shakkir Bin Abdul Latiff (Produksi Gua Seni)
Penerus yang telah mengabsahkan langkah-langkah Zapin terdiri daripada:
1. Salimi Bin Mohd Shah (Anak murid Suhairi Bin Adam & Penerus Zapin Dinjat / Ginjat)
2. Mohd Iskandar Shah Bin Abdullah (Anak murid Suhairi Bin Adam & Mantan Jurulatih Zapin Daerah Muar)