Siri Pengabsahan Zapin Johor - Zapin Pulau

Siri Pengabsahan Zapin Johor merupakan inisiatif NusPARC untuk mengabsahkan ragam-ragam permainan Zapin dari daerah-daerah di negeri Johor untuk memastikan tradisi Zapin Negeri Johor kekal dalam bentuk yang asal dan akan terus dimainkan sepertimana ianya diajar atau diturunkan oleh Adiguru-Adiguru Zapin Johor. Siri Pengabsahan Zapin Johor ini menampilkan repertoir-repertoir Zapin yang terdapat di negeri Johor. Episod ini menayangkan rakaman pengabsahan Zapin Pulau. Penyelidikan dan rakaman video pengabsahan bersama narasumber Zapin Pulau telah dijalankan pada 14 Disember 2021 di Mersing Kecil, Mersing, Johor.

Zapin Pulau Tioman (Mersing): Adiguru Othman bin Mat Hussain atau Pak Othman merupakan pewaris Zapin Pulau dan pengasas kepada Kumpulan Zapin Warisan Pulau-Pulau Mersing. Beliau dilahirkan pada 20 April 1945 di Kampung Mukut, Pulau Tioman. Allahyarham Othman bin Mat Hussain telah mempelajari Zapin di Kampung Mukut pada tahun 1952 ketika berumur tujuh tahun dan seterusnya berguru dengan bapak saudaranya arwah Pak Ali Bakri, arwah Pak Ali Awang di Kampung Mukut, serta arwah Pak Harun dari Pulau Aur. Pak Othman juga telah mengajar Zapin dari Kampung Mukut kepada ramai anak muridnya setelah beliau berpindah ke Mersing bersama keluarganya pada tahun 1981. Zapin dari Kampung Mukut tersebut berkembang pesat di Mersing dan dimainkan di acara-acara keramaian khususnya di majlis perkahwinan oleh masyarakat dari pulau-pulau di Mersing dan oleh anggota kumpulan Zapin Warisan Pulau-Pulau. Pada asalnya Zapin Kampung Mukut ditarikan oleh lelaki sahaja dan mempunyai kekuatan yang tersendiri dari segi tapakan kaki dan langkah yang lebih tegas. Liuk penari juga kelihatan lebih mantap dalam posisi tubuh menegak ke atas seolah-olah melambangkan mereka sebagai pelaut dan nelayan, melangkah tegas di atas pemukaan perahu yang sentiasa bergolak di lautan luas. Pada hari ini Zapin dari Kampung Mukut dimainkan oleh pemain lelaki dan pemain wanita. Langkahan dan tapakan pemain wanita lebih halus dan lembut berbanding pemain lelaki.

Zapin Pulau Aur: Adiguru Ahmad bin Haji Abd Rahman atau nama panggilannya Pak Mat berasal dari Pulau Aur, Mersing. Beliau merupakan pegasas Zapin Pulau Aur dan telah mula bergiat dalam permainan Zapin Pulau Aur ketika berumur 12 tahun. Allahyarham Ahmad bin Haji Abd Rahman belajar memainkan Zapin Pulau Aur dari seorang guru yang bernama Pak Manaf dari Pulau Jemaja di kepulauan Anambas. Beliau membawa langkah-langkah yang dipelajarinya daripada Pak Manaf ke Mersing bersama-sama beberapa orang yang seangkatan seperti Encik Ajis Ahmad, Encik Md Din Sarip dan Encik Jabar Ismail.

Penyelidikan dan Penerbitan oleh: Nusantara Performing Arts Research Center (NusPARC)

Pengarah Urusan NusPARC / Ketua Penyelidik : Profesor Dr Mohd Anis Md Nor

Pengurus Bersekutu NusPARC : Hafzan Zannie Bin Hamza

Pegawai Program NusPARC / Pembantu Penyelidik / Pengarah Fotografi : Muhammad Zharif Azzudin Bin Mohd Tahir

Penerus Zapin Pulau yang telah mengabsahkan langkah-langkah Zapin dari Adiguru Allahyarham Othman Bin Mat Hussain dan Allahyarham Ahmad Bin Abd Rahman terdiri daripada:

1. Mohd Rizal bin Sheikh Abdullah (anak murid Allahyarham Othman Bin Mat Hussain dan mantan jurulatih Zapin Daerah Mersing)

2. Long Arimi bin Long Nik (anak murid Allahyarham Othman Bin Mat Hussain dan mantan jurulatih Zapin Daerah Mersing)

3. Normayani Binti Md Khalid (anak murid Allahyarham Othman Bin Mat Hussain)

4. Dianna Binti Sulaiman (anak murid Allahyarham Ahmad bin Haji Abd Rahman dan Setiausaha Persatuan Penggiat Zapin Negeri Johor)

Previous

Main Zapin Melayu di Pentas Seni Merdeka 2023

Next

Siri Pengabsahan Zapin Johor - Zapin Koris I & Zapin Koris II