Siri Pengabsahan Zapin Johor - Zapin Setajam
Siri Pengabsahan Zapin Johor merupakan inisiatif NusPARC untuk mengabsahkan ragam-ragam permainan Zapin dari daerah-daerah di negeri Johor untuk memastikan tradisi Zapin negeri Johor kekal dalam bentuk yang asal dan akan terus dimainkan sepertimana ianya diajar atau diturunkan oleh Adiguru-Adiguru Zapin Johor. Siri Pengabsahan Zapin Johor ini menampilkan repertoir-repertoir Zapin yang terdapat di negeri Johor. Episod ini menayangkan rakaman pengabsahan Zapin Setajam. Penyelidikan dan rakaman video pengabsahan bersama narasumber Zapin Setajam telah dijalankan pada 17 September 2022 di No. 832, Kampung Setajam, 26820 Kuala Rompin, Pahang Darul Makmur.
Zapin Setajam:
Kepelbagaian Zapin di daerah Mersing bukan sahaja tertumpu di kampung-kampung di kawasan pesisir pantai barat dan di kepulauan Mersing tetapi juga di daerah di sekitar muara Sungai Rompin, khususnya daerah Endau Rompin. Pengaruh Zapin Tenglu juga memainkan peranan penting dalam perkembangan Zapin di daerah Endau Rompin, khususnya di Kampung Setajam. Zapin Setajam dimainkan oleh penduduk-penduduk kampung ketika menyambut keramaian atau kenduri perkahwinan. Tokoh dan adiguru Zapin Setajam, Osman bin Hasim @ Pak Man yang lahir pada tahun 1949, mempelajari Zapin ketika berumur 13 tahun dari kawan-kawan sekampung dan menjadi seorang pemain Zapin yang mahir ketika berumur 15 tahun. Beliau mempelajari Zapin Setajam bersama sepupunya Salleh bin Tek dari bapa saudara mereka, Abdul Latif bin Lehim. Osman bin Hasim @ Pak Man yang merupakan anak sulung dari lima orang adik-beradik adalah satu-satunya pemain muzik dan Zapin dalam keluarganya. Ini adalah kerana beliau sangat berminat bermain Ghazal dan Zapin bersama sahabat-sahabatnya ketika bujang di Kampung Setajam dan di kampung-kampung berdekatan. Setelah berkahwin dengan Fatimah binti Mat Yasa @ Rokiah ketika berumur 19 tahun pada tahun 1968, Osman bin Hasim @ Pak Man meneruskan kegiatan bermain Ghazal dan Zapin Setajam bersama sahabat-sahabatnya di Kampung Setajam.
Terdapat beberapa keistimewaan dalam permainan Zapin Setajam. Antaranya ialah ragam langkahan kaki yang disebut sebagai Bunga. Istilah Bunga yang digunakan untuk ragam-ragam langkah Zapin Setajam menunjukkan bahawa estetika Zapin Setajam tertumpu kepada lakaran pola lantai, ruang pergerakan di antara pasangan pemain Zapin dan gaya liuk tubuh serta lenggangan tangan. Pemain Zapin Setajam memegang bucu kiri bahagian atas kain samping dengan tangan kiri dan melenggangkan tangan kanan sambil meliuk tubuh ketika melakukan Bunga-Bunga Zapin. Terdapat enam Bunga Zapin dalam Zapin Setajam yang disebut sebagai Bunga Satu, Bunga Dua, Bunga Tiga, Bunga Empat, Bunga Lima dan Bunga Enam. Begitu juga dengan langkahan terakhir di hujung permainan yang disebut sebagai Waina’. Langkahan Waina’ tidak banyak berbeza dengan langkahan Wainab dalam Zapin Johor tetapi keistimewaan Waina’ di dalam Zapin Setajam terletak pada gaya pemain membuat pusingan sebelum bertinggung ke arah penjuru kanan menghadap pasangan.
Adiguru dan penerus yang telah mengabsahkan langkah-langkah Zapin Setajam terdiri daripada:
1. Osman Bin Hasim (Adiguru Zapin Setajam)
2. Mohd Rawi Bin Ab Rani (Tok Penghulu Kampung Setajam)
3. Noliza Binti Salleh (Anak Murid Osman Bin Hasim & Penerus Zapin Setajam)
4. Mohd Rizal bin Sheikh Abdullah (Anak Murid Osman Bin Hasim & Penerus Zapin Setajam)