Siri Pengabsahan Zapin Johor - Zapin Koris I & Zapin Koris II
Siri Pengabsahan Zapin Johor merupakan inisiatif NusPARC untuk mengabsahkan ragam-ragam permainan Zapin dari daerah-daerah di negeri Johor untuk memastikan tradisi Zapin Negeri Johor kekal dalam bentuk yang asal dan akan terus dimainkan sepertimana ianya diajar atau diturunkan oleh Adiguru-Adiguru Zapin Johor. Siri Pengabsahan Zapin Johor ini menampilkan repertoir-repertoir Zapin yang terdapat di negeri Johor. Episod ini menayangkan rakaman pengabsahan Zapin Koris. Penyelidikan dan rakaman video pengabsahan bersama narasumber Zapin Koris telah dijalankan pada 26 Februari 2022 di Kampung Koris, Batu Pahat, Johor.
Zapin Koris I: Haji Husain bin Ahmad atau Cikgu Husain (1937-2004) telah mewarisi Zapin Koris dari bapaknya, Ahmad bin Saaludin ketika beliau berlajar bermain Zapin bersama lapan orang saudara kandungnya ketiga remaja. Pada asalnya Zapin tersebut telah diturunkan dari Saaludian, datuk kepada Cikgu Husain yang berketurunan Banjar di Kampung Koris. Susur-galur Zapin Koris dari Saaludin ke anaknya, Ahmad bin Saaludin dan ke cucu-cucunya seperti Cikgu Husain bin Ahmad, Hassan bin Ahmad (adik Cikgu Husain) ada Othman bin Ahmad (adik Cikgu Husain) telah membolehkan warisan Zapin dari keluarga Cikgu Husain bin Ahmad diteruskan oleh orang-orang kampung dan golongan belia di Kampung Koris, Senggarang, dan di daerah Batu Pahat pada awal tahun akhir 1990-an. Sebagai adiguru Zapin Koris I, Cikgu Husain bukan sahaja telah mengajar Zapin di kalangan pelajar-pelajar sekolah tetapi juga kepada ahli-ahli Kumpulan Zapin Kampung Koris termasuk Sahar bin Mahat dan Bidin bin Mahat, pewaris dan peneraju Zapin Koris II. Di antara anak murid Cikgu Husain ialah Mohd Faizal bin Abas dan Anuar bin Salleh, pezapin dan jurulatih tari Unit Tari Majlis Kebudayaan Daerah Batu Pahat pada tahun 1996. Sejak dari itu Zapin Koris I dari Cikgu Husain bin Ahmad dengan empat buah ragam pergerakan seperti Langkah Asas, Langkah Tak Jadi, Langkah Pusing Melayang dan Langkah Siku Keluang telah dilestarikan sebagai Zapin Koris I oleh pemuda-pemudi Unit Tari Majlis Kebudayaan Daerah Batu Pahat.
Zapin Koris II: Haji Bidin bin Mahat (lahir pada 1955) telah mewarisi Zapin dari datuk saudaranya Nordin bin Saaludin. Beliau mula berlajar Zapin pada tahun 1968 ketika berumur tiga belas tahun dan seterusnya mengikuti ahli keluarga bermain Zapin di majlis-majlis kenduri, malam berinai dan acar-acara sambutan yang diadakan di Kampung Koris. Zapin yang dimainkan oleh Haji Bidin dan saudara kandunganya Esah binti Mahat, Sahar bin Mahat dan Nahar bin Mahat berasal dari nasab moyang mereka, Saaludin (berketurunan Banjar). Saaludin telah menurunkan Zapin kepada anak-anaknya Nordin bin Saaludin dan Nopiah binti Saaludin (datuk saudara dan nenek Haji Bidin bin Mahat) di Kampung Koris. Namun demikian, Zapin tersebut telah diperkemaskan oleh Nordin bin Saaludin. Beliau telah menamakan semua langkah-langkah Zapin Koris II sehingga melahirkan gaya persembahan yang kekal pada hari ini. Lima buah ragam langkah Zapin Koris II yang dimainkan hari ini terdiri daripada Langkah Melayu, Langkah Sanaan, Langkah Yakulalan, Langkah Tak Jadi dan Langkah Sambas. Langkah Melayu dinamakan sedemikian untuk menunjukkan bahawa langkah asas Zapin Koris II diasaskan daripada pergerakan Zapin Melayu. Langkah Sanaan dicipta oleh Saaludin kerana beliau teruja dengan cara melangkah di dalam perahu yang bergoyang dan istilah Sanaan mungkin berasal dari Bahasa Banjar atau dari Bahasa Arab kerana Saaludin juga telah berkawan dan bermain dengan orang Arab ketika beliau memainkan marwas. Langkah Yakulalan menunjukkan pergerakan berpusing sementara Langkah Tak Jadi menunjukkan langkahan yang tidak selesai. Haji Bidin bin Mahat bukan sahaja pewaris Zapin dari nasab keluarga Saaludin tetapi beliau juga adalah adiguru Zapin Koris II yang telah menurunkan Zapin Koris II kepada anak-anaknya, Mohamad Hazri bin Bidin, Nor Aisyah binti Bidin dan Muhammad Fazley bin Bidin, dan kepada pelapis-pelapis muda hari ini.
Penyelidikan dan Penerbitan oleh: Nusantara Performing Arts Research Center (NusPARC)
Pengarah Urusan NusPARC / Ketua Penyelidik : Profesor Dr Mohd Anis Md Nor
Pengurus Bersekutu NusPARC : Hafzan Zannie Bin Hamza
Pegawai Program NusPARC / Pembantu Penyelidik / Pengarah Fotografi : Muhammad Zharif Azzudin Bin Mohd Tahir
Penerus Zapin Koris yang telah mengabsahkan langkah-langkah Zapin dari Adiguru Allahyarham Husain bin Ahmad dan Bidin bin Mahat terdiri daripada:
1. Bidin bin Mahat (Adiguru Zapin Koris II, rakan kepada Allahyarham Husain bin Ahmad)
2. R. Fariz Shahrulizam Irwan Shah Bin Roslan (Penerus Zapin Koris I & Jurulatih Unit Tari Majlis Kebudayaan Batu Pahat)
3. Mohamad Hazri Bin Bidin (Pewaris Zapin Koris II & anak kepada Bidin bin Mahat)
4. Nor Aisyah Binti Bidin (Pewaris Zapin Koris II & anak kepada Bidin bin Mahat)