Siri Pengabsahan Zapin Johor - Zapin Tenglu
Siri Pengabsahan Zapin Johor merupakan inisiatif NusPARC untuk mengabsahkan ragam-ragam permainan Zapin dari daerah-daerah di negeri Johor untuk memastikan tradisi Zapin Negeri Johor kekal dalam bentuk yang asal dan akan terus dimainkan sepertimana ianya diajar atau diturunkan oleh Adiguru-Adiguru Zapin Johor. Siri Pengabsahan Zapin Johor ini menampilkan repertoir-repertoir Zapin yang terdapat di negeri Johor. Episod ini menayangkan rakaman pengabsahan Zapin Tenglu. Penyelidikan dan rakaman video pengabsahan bersama narasumber Zapin Tenglu telah dijalankan pada 13 Disember 2021 di Mersing Kecil, Mersing, Johor.
Zapin Tenglu:
Zapin Tenglu di Kampung Tenglu, Mersing pada asalnya dimainkan oleh pemain lelaki. Pada kebiasaannya Zapin Tenglu dimainkan selepas selesai solat Isyak sehingga ke awal pagi. Lagu yang umum dimainkan untuk mengiringi permainan Zapin Tenglu ialah Faridzal-Ham. Keterlibatan wanita memainkan Zapin Tenglu bermula selepas tahun 1952 apabila Allahyarhamah Hajah Hapsah binti Mohamad mempelajarinya dan ikut mengambil bahagian memainkan Zapin Tenglu pada tahun tersebut ketika beliau berumur 14 tahun. Kegiatan Allahyarhamah Hajah Hapsah binti Mohamad bermain Zapin Tenglu telah diteruskan selepas beliau mendirikan rumah tangga pada tahun 1962. Allahyarhamah Hajah Hapsah binti Mohamad bukan sahaja merupakan wanita pertama yang mempelajari Zapin Tenglu bersama pemain-pemain lelaki di Kampung Tenglu, beliau juga telah mempelopori permainan Zapin Tenglu oleh pemain lelaki dan wanita. Sebagai Adiguru Zapin Tenglu, Allahyarhamah Hajah Hapsah binti Mohamad telah mengembangkan Zapin Tenglu di Negeri Johor dari tahun 1992 sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 2006.
Penyelidikan dan Penerbitan oleh: Nusantara Performing Arts Research Center (NusPARC)
Pengarah Urusan NusPARC / Ketua Penyelidik : Profesor Dr Mohd Anis Md Nor
Pengurus Bersekutu NusPARC : Hafzan Zannie Bin Hamza
Pegawai Program NusPARC / Pembantu Penyelidik / Pengarah Fotografi : Muhammad Zharif Azzudin Bin Mohd Tahir
Pewaris dan Penerus Zapin Tenglu yang telah mengabsahkan langkah-langkah Zapin dari Adiguru Allahyarhamah Hajah Hapsah binti Mohamad terdiri daripada:
1. Salmiah binti Jaffar (anak Allahyarhamah Hajah Hapsah binti Mohamad)
2. Noliza binti Salleh (anak murid Allahyarhamah Hajah Hapsah binti Mohamad)
3. Mohd Rizal bin Sheikh Abdullah (anak murid Allahyarhamah Hajah Hapsah binti Mohamad dan mantan jurulatih Zapin Daerah Mersing)
4. Long Arimi bin Long Nik (anak murid Allahyarhamah Hajah Hapsah binti Mohamad dan mantan jurulatih Zapin Daerah Mersing)