Siri Pengabsahan Zapin Johor - Zapin Lapis Batu Putih
Siri Pengabsahan Zapin Johor merupakan inisiatif NusPARC untuk mengabsahkan ragam-ragam permainan Zapin dari daerah-daerah di negeri Johor untuk memastikan tradisi Zapin negeri Johor kekal dalam bentuk yang asal dan akan terus dimainkan sepertimana ianya diajar atau diturunkan oleh Adiguru-Adiguru Zapin Johor. Siri Pengabsahan Zapin Johor ini menampilkan repertoir-repertoir Zapin yang terdapat di negeri Johor. Episod ini menayangkan rakaman pengabsahan Zapin Lapis batu Putih. Penyelidikan dan rakaman video pengabsahan bersama narasumber Zapin Lapis Batu Putih telah dijalankan pada 10 September 2022 di Studio Pe-Zapin, 54B-B, Jalan Kenari 18, Taman Bandar Putra, 81000, Johor.
Zapin Lapis Batu Putih: Walaupun Zapin Johor berbeza dengan Zafin Arab akibat proses kacukan dan proses penciptaan oleh pewaris-pewaris Zapin di negeri Johor, terdapat juga pengaruh Zafin Arab yang kekal dalam Zapin di negeri Johor akibat rentetan sejarah asal usul dan penciptaan Zapin tersebut. Hal ini boleh dilihat pada sebuah Zapin di Kampung Parit Lapis Batu Putih berdekatan Parit Awang dan Parit Chiau di Batu Pahat, Johor. Zapin yang dikenali sebagai Zapin Lapis Batu Putih mempunyai sedikit kelainan kerana ianya mirip ke arah Zafin Arab dari sudut pergerakan kaki dan pola lantai.
Pengasas Zapin Lapis Batu Putih ialah Haji Jaafar bin Haji Arif. Beliau telah mempelajari Zapin dari Sheikh Syed Hassan yang merupakan adik ipar kepada ibu tirinya yang merupakan isteri kedua kepada ayahnya, Haji Arif. Sheikh Syed Hassan yang pandai bermain Zafin Arab telah mengajar Haji Jaafar bin Haji Arif bermain Zafin Arab di Kampung Lapis Batu Putih. Seperti mana dengan Zapin Padang Sari yang terletak berdekatan dengan Kampung Parit Lapis Batu Putih, pengaruh Zafin Arab memainkan peranan penting di dalam penciptaan Zapin di kedua-dua kampung tersebut sehingga pemuda-pemuda dari kedua-dua kampung mampu memainkan Zafin Arab dan Zapin yang dicipta dari pengaruh Zafin Arab. Haji Jaafar bin Haji Arif telah menurunkan Zapin Lapis Batu kepada anaknya, Ahmad Nor bin Haji Jaafar yang mempelajari Zapin Lapis Batu Putih ketika berumur 11 tahun. Dari sembilan orang anak yang terdiri dari enam orang anak lelaki dan tiga orang anak perempuan, Ahmad Nor adalah anak ketiga dan satu-satunya anak Haji Jaafar bin Haji Arif yang mewarisi permainan muzik dan langkah-langkah Zapin Lapis Batu Putih dari ayahnya. Minat dan ketekunan Ahmad Nor bermain Zapin telah membolehkan beliau bermain Zapin di khalayak ramai buat pertama kalinya pada tahun 1960-an ketika berumur 13 tahun. Sejak dari itu, Ahmad Nor bin Haji Jaafar meneruskan permainan muzik dan Zapin sehingga ayahnya meninggal dunia.
Zapin Lapis Batu Putih mempunyai langkah asas seperti Zafin Arab dan langkah Teng-Teng yang berpusing beberapa kali ketika melakukan pola lantai ke hadapan dan ke belakang oleh sepasang pemain lelaki. Langkah-langkah Zapin Lapis Batu Putih terdiri daripada Langkah Satu, Langkah Dua, Langkah Tiga dan Langkah Empat.
Penyelidikan dan Penerbitan oleh: Nusantara Performing Arts Research Center (NusPARC)
Pengarah Urusan NusPARC / Ketua Penyelidik : Profesor Dr Mohd Anis Md Nor
Pengurus Bersekutu NusPARC : Hafzan Zannie Bin Hamza
Pegawai Program NusPARC / Pembantu Penyelidik / Pengarah Fotografi : Muhammad Zharif Azzudin Bin Mohd Tahir
Filem Editor: Muhammad Shakkir Bin Abdul Latiff (Produksi Gua Seni)
Adiguru dan penerus yang telah mengabsahkan langkah-langkah Zapin terdiri daripada:
1. Ahmad Nor Bin Haji Jaafar (Adiguru Zapin Lapis Batu Putih)
2. Muhammad Amirul Ariff Bin Mohd Latif (Anak Murid Ahmad Nor Bin Haji Jaafar & Jurulatih Persatuan Penggiat Zapin Negeri Johor)